Oleh:Nazialita Geynna Maharan

 

TAIPING: Seorang lelaki tergamak merogol ibu kandungnya sendiri di rumah mereka di Kamunting, pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan kes tersebut daripada ibu suspek, yang juga janda anak lima.

Menurut beliau, wanita berusia 48 tahun itu mendakwa suspek menggunakan kekerasan untuk melakukan perbuatan terkutuknya.

“Berikutan itu, pihak kami telah menahan suspek berusia 21 tahun yang bekerja sebagai buruh di kilang tayar,” katanya kepada pemberita.

Kata beliau, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan akan direman di bawah Seksyen 117 bermula hari ini ( Khamis) sehingga 15 March depan.

Harrith berkata kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 376 B Kanun Keseksaan.

“Suspek boleh dipenjara tidak kurang daripada enam tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun serta menerima hukuman sebatan jika sabit kesalahan,” ujarnya.