JOHOR BAHRU : Polis berjaya memberkas seorang penganggur berumur 30 tahun di Pontian petang semalam, yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan cabul di kawasan Lima Kedai, Gelang Patah, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri (Operasi) Supt Ibrahim Mat Som berkata lelaki yang didapati positif dadah jenis methamphetamine itu ditahan di sebuah kedai menjual kereta pada kira-kira pukul 6.00 petang.

Beliau berkata polis merampas 3 telefon bimbit, serangkai kunci kereta serta sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai milik suspek, dan menurutnya pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak memiliki rekod jenayah.

Katanya susulan soal siasat, polis kemudiannya menemui sebuah lagi kereta Perodua Myvi yang dipercayai milik mangsa di Ayer Baloi dekat Pontian serta sebilah parang panjang di Taman Saujana, Pontian, yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan jenayah.

“Dia kini direman selama 5 hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun dengan senjata, Seksyen 377 Kanun Keseksaan kerana perlakuan seks luar tabii serta 354 Kanun Keseksaan kerana cabul,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam kejadian Isnin lepas, seorang wanita berumur 23 tahun dan teman lelakinya yang berumur 20 tahun dilaporkan bukan sahaja disamun malah wanita berkenaan turut dicabul oleh suspek, selepas mereka terpedaya dengan tawaran kerja suspek.

Suspek menerusi Facebook menawarkan pekerjaan model sambilan kepada wanita itu dengan bayaran RM3,000, sehingga mendorong wanita berkenaan bersama teman lelakinya yang dari Kuala Lumpur, datang ke Johor dengan menaiki kereta Perodua Myvi.

Beberapa media melaporkan, kedua-dua mereka mengambil suspek di Pontian untuk ke satu destinasi, namun apabila sampai di kawasan jalan mati berdekatan Lima Kedai, suspek mengeluarkan sebilah parang panjang, sebelum mengurung teman lelaki wanita itu di dalam but kereta.

Suspek kemudian mencabul wanita itu dan merakam perbuatannya menggunakan telefon bimbit milik suspek sebelum menyamun, dan dia kemudiannya meninggalkan kedua-dua mangsanya di tepi jalan, dan melarikan diri bersama kereta Perodua Myvi milik mangsa.

Ibrahim sehubungan itu menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja yang dibuat menerusi laman sosial.