KALAU tak sengaja, takkanlah sudah empat kali lelaki sama buat macam itu,” kata seorang juruwang yang terkejut dengan tindakan seorang lelaki membiarkan alat sulitnya terkeluar dari zip seluar ketika membuat pembayaran di kaunter kedai serbaneka 24 jam di Bintulu, malam tadi.

Gadis berkenaan yang enggan identiti didedahkan berkata, walaupun kejadian pada 8 malam itu membuatkan dia tergamam seketika, namun dia sempat berfikir segera untuk mendapatkan bukti perlakuan buruk lelaki dipercayai gila seks itu.

“Sebelum ini, dia pernah melakukan perkara sama, tetapi saya hanya melihat sahaja perbuatannya dan tiada bukti untuk ditunjukkan kepada rakan atau pihak berkuasa, tetapi kali ini saya sempat mengambil gambarnya.

“Saya akan membuat laporan polis dan mengemukakan gambar itu sebagai bukti dan berharap tindakan diambil kerana saya bimbangkan keselamatan jika dia dibiarkan,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Mangsa berkata, biasanya lelaki itu masuk ke kedai serbaneka itu dan membeli beberapa barang sebelum membuat pembayaran.

“Ketika di depan kaunter, dia dengan selamba berdiri di depan saya seolah-olah tidak menyedari kemaluannya terkeluar dari seluar.

“Perbuatan lelaki itu bukan sahaja menjijikkan, malah menakutkan kerana bimbang dia akan bertindak lebih berani,” katanya.

Katanya, rakannya pernah terserempak lelaki itu berkeliaran berdekatan kedai serbaneka itu dan marah apabila tingkah lakunya diperhatikan – hmetro