IPOH – Seorang lelaki tidak menyangka niat untuk mengubahsuai kedai bingkai gambar miliknya menjadi mimpi ngeri selepas dia meminjam wang dari sebuah syarikat kewangan melalui Facebook.

Chuah Chee Hooi, 48, mendakwa, dia kerugian hampir RM40,000 kerana ditipu oleh syarikat berkenaan.

Dakwanya, dia dikehendaki membayar sejumlah wang sebagai pembayaran awal sehingga proses kelulusan pinjaman diberikan.

“Setiap kali minta wang pinjaman saya, mereka akan minta sejumlah wang dengan pelbagai alasan termasuk penalti, kompaun, caj guaman dan sebagainya. Hanya selepas seminggu baru saya yakin telah ditipu.

“Walaupun berdepan dengan situasi itu, saya tiada pilihan dan cuba mencari sumber kewangan di syarikat kewangan lain kerana nama saya telah disenarai hitam oleh bank,”katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, di sini, semalam.

Ekoran itu, Chee Hooi berkata, dia terpaksa meminjam dari ramai ah long untuk langsaikan hutangnya itu walaupun tahu akibat yang akan dihadapinya kelak.

“Saya pinjam RM1,000 tetapi mereka beri RM500 sahaja dan dalam masa tujuh hari, saya perlu membayar RM1,000. Apa yang boleh saya buat hanya pinjam dengan ah long lain untuk bayar hutang terdahulu dan akhirnya saya berhutang dengan ramai ah long

“Hidup saya sengsara sebab diburu 11 ah long akibat gagal membayar hutang dianggarkan RM60,000,”katanya.

Katanya, keadaan menjadi semakin parah apabila kedainya turut diserang ah long, barangan dirampas selain diugut dan dipukul.

“Saya telah membuat tiga laporan polis berhubung perkara ini dan berharap mereka dapat membantu menangani masalah ini.

“Saya tidak sanggup menghadapi hari-hari mendatang dengan sikap isteri dan anak-anak yang tidak mengendahkan saya. Saya tertekan dengan keadaan ini, mereka seperti menjauhkan diri daripada saya,”katanya.

Jelasnya, dia mahukan sokongan keluarga tetapi keadaan sebaliknya berlaku malah niat asalnya untuk meningkatkan perniagaannya melalui penambahbaikan kedai hanya meninggalkan trauma kepada dirinya.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berharap pihak polis dapat membanteras kegiatan ah long yang dilihat menggunakan undang-undang sendiri untuk menakutkan mangsa.

“Mereka datang ke kedai, mengugut, merampas, merosakkan barang milik mangsa yang mana perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

“Saya harap pihak polis tidak memberi peluang kepada kumpulan ah long ini bermaharajalela dengan perbuatan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekang aktiviti mereka,”katanya.

-Sinarharian