Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman menyerah diri di balai polis sejurus mengaku menetak seorang wanita warga Indonesia sehingga mati di Kampung Tersusun Tasek di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima laporan bahawa lelaki berusia 34 tahun itu datang ke Balai Polis Bercham menaiki motosikal pada kira-kira pukul 3.30 petang.

“Lelaki ini memberitahu anggota polis bertugas bahawa dia telah membunuh seorang wanita. Kami menjadikan ianya sebagai maklumat pertama dan menahan lelaki itu.

“Pihak polis kemudian pergi ke lokasi kejadian dan menemui seorang wanita di bahagian antara ruang tamu dan dapur.
Kami mendapati ada kecederaan di bahagian muka, belakang kepala dan tiga jari di kedua-dua tangan mangsa putus.

“Kami turut menjumpai sebilah parang di pekarangan rumah, yang dipercayai digunakan suspek,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Jelas Chang Keong, wanita Indonesia itu dipercayai seorang pekerja sambilan yang diupah oleh keluarga lelaki berkenaan untuk membersihkan rumah mereka.

Beliau berkata, polis masih menyiasat rekod jenayah suspek dan sedang bekerjasama dengan pihak perubatan bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenai keadaan mental mangsa.

“Hanya suspek dan mangsa yang dipercayai berada di rumah itu sewaktu kejadian.

“Lelaki tersebut mempunyai dua orang anak manakala isterinya tidak tinggal bersama.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

IMG-20171009-WA0018