PETALING JAYA – Seorang ahli perniagaan warga Singapura yang videonya tular di media sosial sedang membelasah seekor anjing di Bandar Kinrara April lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Yee Kok Chew, 57, selaku orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohd. Azali Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bertindak zalim dengan memukul, menyakiti dan mendera seekor anjing jantan baka Mongrel berwarna coklat putih sehingga mendatangkan kesakitan serta penderitaan tidak wajar terhadap haiwan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok keselamatan, Jalan BK6 E/4 (1), Taman Melody, Bansae Kinrara, Puchong pada pukul 8.49 malam, 2 April lalu.

OKS didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) (Semakan 2006) dan dibaca bersama Akta Binatang (Pindaan 2013) (Akta A1452) yang boleh dihukum dibawah akta sama.

Akta itu memperuntukan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan.

Tarikh 4 September depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Rakaman televisyen litar tertutup berdurasi 2.43 saat yang tersebar di laman sosial memaparkan seorang lelaki memukul dengan ganas anjing itu menggunakan topi keledar.

Anjing tersebut kini ditahan di Pejabat Veterinar Petaling. – K! ONLINE