TAIPING – Gara-gara dendam, seorang warga Singapura hampir kehilangan tangan kanan selepas ditetak pada bahagian kaki dan badan oleh seorang suspek yang mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daaerah Taiping ACP Mohamad Taib berkata suspek tersebut ditahan kerana telah menyebabkan cedera parah menggunakan senjata, ugutan jenayah, kurungan jenayah dan cubaan bunuh diri.

Beliau berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian orang dibunuh dan seorang lagi dicederakan di No. 135, Lorong 1, Taman Kami C, Aulong, Perak, pada pukul 4.06 pagi.

“Sepasukan polis telah tiba lokasi pada pukul 4.25 pagi dan mendapati suspek sedang mengacukan parang pada leher mangsa yang merupakan seorang lelaki Cina berumur 70 tahun, di dalam bilik tidur utama dengan pintu berkunci.

“Sebelum pihak polis sampai, seorang mangsa lelaki Cina warga Singapura telah dihantar ke Hospital Taiping, kerana mengalami kecederaan akibat ditetak teruk oleh suspek,” kata beliau apabila dihubungi Suara Perak.

Menurut Mohamad, rundingan telah diadakan untuk memujuk suspek supaya melepaskan mangsa dan tidak mencederakan mangsa tetapi suspek enggan. Suspek tidak membuat apa-apa tuntutan dan tidak memberi sebarang respon apabila ditanya sebab mengapa suspek menahan mangsa.

“Suspek akhirnya bersetuju untuk melepaskan mangsa pada pukul 8.30 pagi setelah dipujuk oleh pihak polis. Apabila mangsa keluar dari bilik tersebut, suspek telah mengunci semula bilik dan menahan pintu bilik dengan almari kayu. Mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kira-kira 10 minit kemudian, pihak polis telah merempuh pintu bilik tersebut dan masuk ke dalam kerana suspek mula mencederakan dirinya dengan menggunakan senjata parang dan pisau di dalam tandas bilik. Kemudian pihak polis berjaya menahan suspek,” kata beliau lagi.

Mohamad mengesahkan suspek mengalami kecederaan koyakan pada bahagian belakang kepala dan kesan tusukan di dada dan perut.

Mohamad menambah, kes tersebut disiasat di bawah empat kertas siasatan melibatkan Seksyen 326 Kanun, Seksyen 506 untuk ugutan jenayah, Seksyen 342 untuk kurungan salah dan Sekyen 309 untuk cubaan membunuh diri.