BALIK PULAU: Lelaki yang menampar kepala seorang juruwang wanita di sebuah kedai serbaneka di Setia Triangle, Bayan Lepas, direman empat hari bermula hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Sharmila Abdul Samad di Mahkamah Majistret Balik Pulau, di sini.

Suspek yang berumur 47 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Semalam, BH melaporkan suspek yang bekerja sebagai peniaga itu ditahan polis pada jam 2 petang di Jalan Nuri, Sungai Ara, di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan, berkata suspek yang berasal dari Butterworth itu turut mengaku dia memukul mangsa kerana gagal mengawal kemarahan.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi Selasa lalu di kedai serbaneka di Bayan Lepas, seorang wanita berusia 29 tahun ditampar di belakang kepala dan diugut suspek yang berang kerana tidak dibenarkan membeli tiga paket minyak masak.

Rakaman video mengenai kejadian berkenaan viral di media sosial sebelum lelaki berkenaan dikatakan melarikan diri dan bersembunyi – berita harian