IPOH – Seorang lelaki yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun selepas terjun pangsapuri lima hari lepas akhirnya meninggal dunia pagi tadi akibat kecederaan serius yang dialaminya.

Mangsa berusia 35 tahun yang merupakan pengidap sawan disyaki mengambil tindakan terjun dari beranda tingkat 4 pangsapuri di Taman Pakatan Bercham pada 10 Julai.

Lelaki itu telah dimasukkan ke unit rawatan rapi berikutan kecederaan serius yang dialami setelah didapati jatuh di tengah-tengah halaman pangsapuri pada 10 malan hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata menurut abang mangsa, mangsa menghidap penyakit sawan.

“Berdasarkan maklumat awal, abang mangsa menerima panggilan dari bapa mereka pada hari kejadian memaklumkan perkara itu.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini untuk mendapatkan rawatan,” kata beliau ketika dihubungi oleh Suara Perak.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.17 pagi hari ini dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal akibat polytrauma dengan pelbagai keretakan tulang rusuk dan tulang belakang, lebam lama dan sepsis, tambah beliau.

Mohd Ali berkata mayat mangsa telah dituntut oleh keluarga.