YAN: Seorang lelaki yang terjun sungai ketika melarikan diri daripada serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, semalam ditemui lemas jam 8.07 pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mazlan Yaakob, berkata mayat mangsa berusia 35 tahun ditemui terapung pada jarak tiga kilometer dari lokasi dia terjun dekat kuala Sungai Sala, di sini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan kekuatan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, tiga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)

“Pagi ini, operasi dimulakan dengan teknik pencarian dasar menggunakan bot. Mayat lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

NSTP semalam melaporkan lelaki yang melarikan diri ketika serbuan BSJN IPD Yan, dipercayai lemas selepas terjun ke sungai di kuala Sungai Sala, Yan.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa yang dipercayai penagih dadah terjun ke sungai bagi mengelak ditahan apabila polis melakukan serbuan ke atas sarang penagihan di kawasan berdekatan – berita harian