IPOH: Seorang lelaki tersepit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 381, Lebuh Raya Utara – Selatan, arah selatan berhampiran Slim River pada awal pagi Isnin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, Penolong Bomba Kanan II Yussli Abd Latif berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 6.21 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

“Sesampainya di tempat kejadian kami mendapati dua buah lori telah berlanggar dan menyebabkan seorang mangsa tersepit,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada pagi Isnin.

Menurut Yussli, pihak bomba yang tiba di tempat kejadian telah membuat kerja mengeluarkan mangsa menggunakan pemotong hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.

“Mangsa yang berumur 31 tahun itu memandu sebuah lori membawa muatan sawit dan tidak mengalami kecederaan serius dan dihantar

ke hospital untuk tindakan selanjutnya,” tambah beliau.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.47 pagi.