SERI ISKANDAR – Tidak serik. Seorang lelaki ditahan lagi atas kesalahan berkaitan dadah di sebuah rumah di Jalan Tanjung Tualang, Kampung Mangsa Ribut, Kampung Gajah di sini.

Lelaki berusia 31 tahun berkenaan sebelum ini pernah ditahan dan dipenjarakan disebabkan kesalahan sama.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, terbaharu, lelaki berkenaan ditahan dalam serbuan kira-kira jam 11.15 pagi semalam.

Menurutnya, serbuan oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah itu turut menjumpai 13 peket dadah disyaki heroin seberat 35.80 gram; tiga paket syabu seberat 2.62 gram, alat penimbang elektronik, telefon jenama Samsung dan Lenovo, serta dompet mengandungi wang tunai RM150.

“Pihak polis menahan lelaki berkenaan di hadapan rumah tidak bernombor di Jalan Tanjung Tualang, Kampung Mangsa Ribut, Kampung Gajah.

“Kita percaya dadah-dadah berkenaan adalah untuk edaran kawasan setempat,” katanya.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Lelaki ini yang beralamat di Kampung Setia Kampung Gajah turut positif morfin (heroin).

“Dia sebelum ini sudah ada tiga rekod iaitu melibatkan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB), Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya dan dipenjarakan selama 15 bulan serta Seksyen 6(2) (d) Akta Penagih Dadah dan dipenjarakan tujuh hari,” katanya.

-SinarHarian