LELAKI baru mencecah usia 21 tahun ditahan selepas polis menemui dadah jenis ganja, heroin dan syabu dalam keretanya di Iskandar Puteri, dekat Johor Bahru, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor Asisten Komisioner Lukas Aket, berkata dalam serbuan 7 malam itu, polis merampas ganja seberat 26,220 gram (g) selain 1,350g heroin dan 250g syabu yang semuanya bernilai RM101,000.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC), selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Polis turut merampas kereta Toyota Vios dan wang tunai berjumlah RM1,500 daripada suspek.

“Suspek direman tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, Lukas berkata, sejak awal tahun hingga April ini, JSJN Johor menahan 4,895 orang atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah membabitkan rampasan 277.09 kilogram dengan nilai keseluruhan RM12.56 juta dan sitaan berjumlah RM5.34 juta.

Beliau berkata, polis berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di persekitaran mereka – hmetro