TAIPING 20 April – Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta yang dipandunya terbabas setelah bergesel dengan sebuah treler muatan tong gas di Kilometer 57, Jalan Sitiawan-Taiping di sini hari ini.

Dalam nahas pada pukul 12.30 tengah hari itu, W Mat @ Wan Nawi Wan Salleh, 69, yang memandu kereta jenis Proton Waja maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kemalangan berlaku apabila treler dipandu lelaki berusia 49 tahun itu datang dari arah Taiping menghala ke Sitiawan manakala kereta dipandu mangsa pula dari arah bertentangan.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan berat berkenaan telah memandu melebihi lorong semasa di selekoh sebelum bergesel dengan kenderaan mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan tersebut terbabas. Mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu treler cedera pada kaki.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE