KUALA LUMPUR: Rutin harian seorang lelaki warga emas bersenam di taman permainan bertukar tragedi apabila dia ditemui maut selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam 10 meter di Jalan 25/52B Bandar Menjalara, Kepong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang berusia 63 tahun dikatakan bersenam di taman permainan itu yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya bersama anjing peliharaannya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten R Munusamy, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki yang menemui mayat mangsa di dalam longkang itu pada jam 6.30 petang.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah akibat luka pada kepala. Pasukan perubatan dari Hospital Selayang yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia ketika ditemui.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat luka pada lutut mangsa, selain pendarahan pada telinga, hidung dan kepala,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Munusamy berkata, pihaknya turut menemui dompet dan telefon bimbit milik lelaki warga emas itu bersama mangsa.

“Ahli keluarga mangsa memaklumkan dia tidak menghidap sebarang penyakit kronik dan sering bersenam di taman permainan berkenaan.

“Ketika kejadian, dia ada membawa bersama anjing peliharaannya dan haiwan itu pulang ke rumah selepas mangsa terjatuh ke dalam longkang,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut – berita harian