KAMPAR: Seorang lelaki warga emas yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), berdepan cetik cemas apabila terjatuh ke dalam perigi sedalam 10 kaki di Kampung Malim Nawar Tin, di sini pada awal pagi Selasa.


Mangsa dikenali sebagai P.Ramasamy,71,bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar yang bergegas ke lokasi kejadian.


Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.27 pagi.


“Anggota dari BBP Kampar ke lokasi untuk melakukan kerja menyelamat dan mendapati seorang mangsa OKU telah terjatuh ke dalam perigi sedalam 10 kaki.


“Mangsa diangkat ke atas menggunakan hose kecil bersaiz 1.5 yang diikat dengan kaedah ‘loop’ sehingga berjaya dibawa naik ke atas dengan selamat,”katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, akibat dari kejadian itu mangsa mengalami kecederaan ringan dan luka-luka kecil di bahagian badan.


Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.05 pagi.