KAJANG: Tindakan pantas pemilik rumah meminta bantuan jiran menahan penjenayah yang memecah masuk rumahnya berhasil apabila lelaki berkenaan dicekup di Saujana Impian, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata pemilik rumah dimaklumkan oleh jirannya yang melihat seorang lelaki memecah masuk rumahnya pada jam 12.30 tengah hari sebelum bergegas pulang ke kediamannya.

“Sebaik tiba, mangsa bersama beberapa jiran menunggu suspek yang juga warga Indonesia berusia 31 tahun di depan rumah berkenaan.

“Ketika suspek keluar melalui tingkap yang dipecahkannya, mangsa dan penduduk taman perumahan itu terus menahan lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, mangsa menghubungi polis bagi menyerahkan lelaki berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan terhadap suspek menemui beg mengandungi barang milik mangsa di dalam beg terbabit yang juga kepunyaan pemilik rumah berkenaan.

“Siasatan lanjut mengenai kes ini dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah,” katanya – berita harian