PENGKALAN HULU : Berpantang maut sebelum ajal, seorang lelaki warganegara Thailand selamat meskipun motosikal yang ditunggangnya terjatuh ke dalam gaung sedalam 100 kaki (30 meter) di Gua Gendang, Kampung Tasek pada Khamis.

Mangsa yang dikenali sebagai Pichet, 50, dikatakan terjatuh ke dalam gaung itu ketika sedang menaiki motosikal.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan dari orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 7 malam.

” Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang mangsa lelaki warganegara Thailand terjatuh ke dalam gaung sedalam 100 kaki.

“Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh bomba sukarela dan penduduk kampung dan mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, anggota BBP Pengkalan Hulu kemudiannya membantu dengan memberi rawatan awal dan menghantar mangsa ke klinik dengan jentera EMRS untuk rawatan susulan.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Fairus Nordin itu tamat pada pukul 7.35 malam.