Oleh: Aida Aziz
BEBERAPA hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, akan ada deretan gerai-gerai di tepi jalan yang rancak menjual lemang dengan kaedah membakar secara tradisional, iaitu dengan menggunakan kayu api.
Walaupun lemang merupakan makanan tradisi yang sering dihidangkan ketika pagi Syawal, namun begitu kebanyakan daripada kita, memilih untuk membeli lemang, berbanding membuatnya sendiri.
Sebabnya mudah, proses menghasilkan lemang sememangnya rumit dan memerlukan bahan-bahan asas seperti buluh, beras pulut, santan, daun pisang dan kayu api jika menggunakan kaedah tradisional.
Makanan ini dipercayai menjadi makanan utama Malaysia sejak tahun 1864 dan dikatakan berasal dari Orang Asli di Kelantan yang dipanggil Negrito atau dikenali sebagai Orang Semang.
Kepada yang arif mengenai cara memasak lemang cara tradisional, pastinya mengerti cabaran yang terpaksa dihadapi, seperti api yang perlu dipantau setiap masa untuk mengelakkannya hangus atau mentah.
Lemang Tong Banyak Kelebihan
Menyedari kesukaran dalam menghasilkan lemang secara tradisional, Noraishah Ahmad, 59, memilih untuk bertukar kepada cara moden iaitu menggunakan tong keluli.
Malah tong lemang itu juga dihasilkan sendiri oleh suaminya, yang turut mengambil tempahan membuat tong itu untuk mereka yang berminat.
Menurut Noraishah, terdapat dua jenis tong yang dihasilkan iaitu besar dan kecil, untuk saiz besar mampu memuatkan sehingga 20 batang lemang manakala kecil pula kira-kira tujuh batang.
“Lemang tong sama macam kita buat lemang biasa, cuma aturkan dalam tong dan guna api dapur gas, suhunya tinggi sedikit daripada yang digunakan untuk masak nasi.
“Kalau buluh kecil, ambil masa kira-kira sejam setengah manakala buluh besar pula, dua jam dan apabila sudah sejam, ia perlu dipusingkan, sama macam proses masak lemang secara tradisional.
“Tong yang digunakan selalunya dari tong buah-buahan, kita ubahsuai dengan meletakkan besi untuk sandarkan lemang, sebelum itu tong dicuci dengan serbuk kayu untuk hilangkan bau,” kata Noraishah.
Mudah, Tiada Kerak dan Jimat Masa
Jika sebelum ini Noraishah perlu menjaga api dengan teliti kerana menggunakan kayu api, namun dengan kaedah lemang tong, diakui memudahkan tugasnya di malam hari raya Aidilfitri.
“Kami terfikir buat cara ini disebabkan sekarang susah untuk dapatkan kayu api, selain risiko lemang menjadi hangus.
“Selalunya saya gunakan beras pulut susu dan jangkaan masak untuk buluh besar dua jam, untuk buluh sedang sejam setengah. Jenis beras ini tidak boleh direndam dan santan perlu sama paras dengan pulut,” ujarnya.
Beliau menambah, rasa lemang tong dan tradisional tidak banyak beza, malah ada di antara mereka yang sudah merasainya berpendapat tekstur lemang tong lebih lembut dan lemak.
“Kalau bakar guna kayu api makan masa lebih kurang empat jam, ditambah dengan faktor angin dan hujan, kerana kebiasaannya dibakar di luar rumah,” katanya.