JOHOR BAHRU: Tindakan seorang kanak-kanak cuba mengambil bola yang hanyut dalam kolam tadahan air di belakang sebuah rumah pangsa di Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam di sini, membawa padah apabila dia ditemui lemas, malam tadi.

Mangsa, Eezender Neo Gaong, 10, yang berketurunan Iban ditemui lemas pada jam 11.25 malam ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari, berkata mangsa bersama lapan lagi rakannya berusia antara lapan hingga 10 tahun bermain bola dan berenang di dalam kolam berkenaan.

“Mangsa dan rakannya ke kawasan berkenaan kira-kira jam 3 petang. Mangsa dipercayai cuba mengambil bola yang hanyut ke tengah kolam.

“Lokasi kejadian adalah sebuah kolam tadahan air sedalam antara 2.7 hingga tiga meter dan tidak berpagar,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Norazam turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membiarkan anak bermain atau mandi di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua BBP Pasir Gudang, Ibrahim Omar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.03 malam sebelum pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bersama 14 anggota.

“Tiba di tempat kejadian, kita terus melakukan SAR terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun seperti yang dilaporkan.

“Kita berjaya menemui mayat mangsa kira-kira 10 meter dari tebing kolam yang mana lokasi mangsa terjatuh,” katanya.

Ibrahim berkata, sebaik ditemui, mayat kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut – berita harian