KANGAR: Seorang kanak-kanak lelaki lemas di Sungai Jalan Ban, Kampung Bunga Mas di sini, ketika cuba mengambil basikalnya yang terjatuh ke dalam sungai itu tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Qayyum Zamri, 12, dipercayai hanyut selepas terjun ke dalam sungai untuk menarik basikalnya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mangsa ke sungai terbabit bersama dua lagi rakan untuk memancing dan meletakkan basikal mereka di tebing sungai.

“Bagaimanapun basikal milik mangsa terjatuh ke dalam sungai dan mangsa bertindak terjun ke dalam sungai untuk mengambilnya semula.

“Dua rakannya yang takut melihat mangsa tidak timbul bergegas meminta bantuan orang kampung yang kemudian menghubungi polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

Anggota bomba yang melancarkan operasi mencari menemui mangsa di dasar sungai dan disahkan meninggal dunia.

Wari berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut – berita harian