CYBERJAYA: Dua lelaki lemas ketika menjala ikan di sebuah lombong dekat Taman La Cottage Putra Perdana, di sini, kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang menjalankan operasi mencari menemui mayat dua lelaki berkenaan jam 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor, Mohd Nurizawan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.49 petang berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki.

“Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya dan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi.

“Mayat dua lelaki itu masing-masing berusia 31 dan 40 tahun itu ditemui selepas kira-kira tujuh jam operasi yang turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, mangsa ke lombong berkenaan untuk menjala ikan sebelum jala mereka dikatakan tersangkut.

“Seorang daripada mereka menyelam namun dipercayai lemas sebelum mangsa kedua terjun untuk menyelamatkan rakannya, namun turut lemas.

“Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut berhubung punca kejadian dan kematian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, ” katanya – berita harian