IPOH: Seorang lelaki lemas di dalam lombong ketika dipercayai melarikan diri selepas satu kemalangan jalan raya di Kampung Bakap Baru, Batu Gajah, dekat sini, kira-kira pukul 9 malam Isnin.

Mangsa, Mohd Adha Mohd Arif, 43, dikatakan menghidap penyakit kurang siuman dan pernah mendapat rawatan di hospital Tanjung Rambutan pada 2014.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang sebuah motosikal disyaki hilang kawalan lalu terbabas masuk ke lorong sebelah dan bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang seorang lelaki.

Menurutnya, sejurus kemalangan, mangsa yang dalam ketakutan telah bertindak melarikan diri dan terus masuk ke dalam lombong berdekatan dan disyaki mati lemas.

“Pihak bomba telah dipanggil untuk mengesan mangsa dan mayatnya ditemui kira kira 10 meter dari tepi jalan di dalam kawasan lombong,” katanya dalam kenyataan awal pagi Selasa.

Kemalangan berlaku di satu selekoh yang gelap kerana tiada lampu jalan.

Seorang lagi mangsa kemalangan disyaki patah kaki dan dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk menerima rawatan.