IPOH – Seorang lelaki ditemui mati lemas dipercayai ketika menjala ikan di sungai berhampiran Kampung Tualang 7, Kampung Kepayang di sini, petang tadi.

Mangsa, Muhamad Fikri Jaafar, 21, dipercayai terjatuh selepas tali jala yang terikat pada pergelangan tangan mangsa telah menariknya ke dalam sungai.

Orang awam yang melihat mangsa terkapai-kapai dalam arus deras sungai berkenaan cuba membantu namun gagal dan mayatnya ditemui di dasar sungai tersebut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Abd Hadi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.31 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) bergegas ke lokasi untuk kerja mencari dan menyelamat.

“Ketika tiba, kita mendapati mangsa telah ditemui dan dibawa naik ke tebing oleh orang awam. Kita bertindak membawa naik mangsa ke kawasan selamat dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

-Sinarharian