TAIPING: Niat mengutip daun selom di tepi lombong bertukar menjadi tragedi apabila seorang lelaki berusia 31 tahun ditemui lemas di Kurnia Jaya, Kamunting di sini, awal pagi Khamis.

Mangsa, Mohd Shah Rizal Ahmad dipercayai bersama rakannya pergi mengutip daun ulam itu pada petang semalam, dipercayai lemas selepas gagal berenang untuk menyeberangi lombong tinggal itu.

Mayat mangsa berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pasukan bomba pada jam 3.05 pagi, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, mayat mangsa ditemui selepas seorang penduduk menggunakan cara memancing dan mata kail melekat pada bibir mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama rakannya mencari daun selom di tepi lombong berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari pada Rabu.

“Mereka menyeberangi ke tengah lombong yang terdapat banyak kawasan semak. Pada jam 3 petang, mereka membuat keputusan untuk pulang dengan cara berenang merentasi lombong itu,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Razlam berkata, sebelum berenang pulang, rakan mangsa menasihatkan dia supaya berjalan di tepi lombong jika tidak pandai berenang.

Katanya, sebaik sahaja rakannya itu sampai di tepi lombong, dia mendapati mangsa sudah tidak kelihatan.

“Rakannya itu memanggil mangsa beberapa kali namun tiada jawapan lalu dia pergi meminta bantuan daripada penduduk kampung,” ujarnya.

Beliau berkata, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting berkejar ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat di lombong sedalam sembilan meter itu.

“Pasukan mencari dan menyelamat gagal menemui mangsa. Namun pada awal pagi ini, mangsa ditemui selepas tersangkut pada mata kail penduduk kampung itu,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Taiping untuk dibedah siasat dan punca kematian disahkan akibat lemas.