IPOH: Kerajaan negeri Perak dan Pahang diminta memberhentikan segera pemberian permit baharu untuk pembukaan tanah bagi tujuan pertanian dan pembangunan bagi mengelakkan lebih banyak kejadian tanah runtuh.

Dalam perkembangan sama, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menitahkan agar diberhentikan semua kelulusan di kawasan Cameron Highlands yang terletak di sebelah negeri Perak.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerajaan negeri Pahang juga akan mengambil langkah yang sama.

Menurut beliau, kajian keseluruhan perlu dijalankan terlebih dahulu untuk mengetahui keadaan kestabilan tanah di Cameron Highlands yang kerap berlaku tanah runtuh dan pergerakan tanah sejak kebelakangan ini.

“Tanah runtuh di Cameron Highlands sekarang sudah biasa sebab pencerobohan tanah telah luas dan besar. Saya minta kerjasama daripada kedua-dua negeri, iaitu Perak dan Pahang untuk kita memantau kawasan itu.

“Yang pertama kita kena hentikan semua aktiviti pencerobohan di dalam atas kawasan itu dan yang kedua, saya minta dua-dua negeri, jangan keluarkan permit-permit untuk membuka kawasan-kawasan baharu, sama ada untuk pembangunan ataupun untuk tanaman-tanaman sayuran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemasyuran Lembah Kinta Sebagai Geopark Kebangsaan di sini, pada Khamis, yang disempurnakan Sultan Nazrin.

Beliau diminta mengulas beberapa kejadian tanah runtuh dan pergerakan tanah yang berlaku di kawasan Cameron Highlands seperti di Kampung Pawong, Simpang Pulai pada Selasa dan Kuala Terla, Kampung Raja sehari kemudian.

Pada 14 Oktober lalu, dua wanita dan seorang lelaki warga Myanmar maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 49, Kampung Tiga, Terla, Cameron Highlands.

Dr Xavier berkata, persetujuan kerajaan negeri Perak dan Pahang diperlukan untuk jamin masa depan kelestarian kawasan Cameron Highlands dan kementerian akan memberi kerjasama penuh untuk menstabilkan kawasan itu.

Dalam masa sama, kata beliau, kedua-dua negeri juga diminta memperhebatkan pemantauan dan penguatkuasaan untuk mencegah pencerobohan haram.

“Kita kena ketatkan penguatkuasaan dan mereka yang melakukan kesalahan perlu diambil tindakan tegas, gunakan sepenuhnya kuasa undang-undang untuk pastikan mereka tidak terlepas,” ujarnya.