IPOH – Orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif selepas beberapa jalan utama ditutup sementara waktu, sempena raptai dan sambutan Sukan Malaysia (SUKMA) XIX 2017, bermula 10 September ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Supt Ahmad Adnan Basri berkata beberapa jalan utama di Bandaraya Ipoh akan ditutup semasa raptai dan hari sebenar selama dua hari secara berperingkat iaitu pada 10 September 2018 mulai pukul 4 petang hingga 10 malam dan 11 September 2018 dari jam 4 petang sehingga selesai majlis.

“SUKMA XIX Perak akan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 11 September manakala majlis penutup pula akan dirasmikan oleh Perdana Menteri TUn Dr Mahathir Mohammad pada 22 September bertempat di Stadium Perak,” ujar beliau di dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, Lencongan dan penutupan jalan adalah melibatkan sekitar kawasan Stadium Perak iaitu Jalan Ghazali Jawi, Jalan Kompleks Sukan, Lebuh Cecil Rae, Jalan Kamaruddin Isa, Bulatan Stadium, Bulatan Kampung Simee, Bulatan Dato Lau Pak Kuan akan dibuat sepanjang acara berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh seawall jam 8 pagi.
“Jalan-jalan yang dilencongkan dan ditutup sepanjang tempoh raptai dan hari sebenar adalah dari Jalan Dato Lau Pak Kuan di lencong ke Jalan Ghazali Jawi/Jalan Kompleks Sukan (Kampung Simee), dari Jalan Kompleks Sukan (Kampung Simee) di lencong ke Jalan Dato Lau Pak Kuan/Jalan Ghazali Jawi, dari Jalan Raja Ashman Shah ke Jalan Ghazali Jawi lencong ke Jalan Kamaruddin Isa/Bulatan Stadium/Jalan Dato Lau Pak Kuan.

“Manakala jalan-jalan yang ditutup sepenuhnya adalah Jalan Kompleks Sukan dari Bulatan Stadium kecuali kepada kenderaan VVIP dan bas atlet, Lebuh Cecil Rae dari Jalan Ghazali Jawi kecuali untuk kenderaan VVIP dan secretariat serta dari Jalan Raja Ashman Shah menuju Jalan Kompleks Sukan (Pernama) ditutup.

Beliau turut menasihati kepada para pengunjung yang ingin menyaksikan majlis perasmian SUKMA XIX khususnya bagi mereka yang akan datang melalui Lebuhraya Utara Selatan di utara agar merancang perjalanan mereka.
“Ini disebabkan pada tarikh tersebut, keadaan trafik di lebuhraya terutama yang menghala ke selatan dijangka padat kerana orang ramai akan kembali bekerja setelah bercuti panjang,” tambah beliau.

Ahmad Adnan turut menyarankan agar pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalulintas dan arahan pegawai serta anggota trafik yang bertugas.