BUKIT MERTAJAM – Tindakan sekumpulan remaja yang menjadikan sebuah pangsapuri di Jalan Laguna, Perai di sini sebagai tempat melepaskan gian membawa padah apabila mereka diberkas polis dalam satu serbuan petang semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah itu kira-kira jam 6 petang, turut dirampas dadah jenis methamphetamine dan pil WY.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat orang awam mengenai kegiatan mencurigakan kumpulan remaja berkenaan di rumah terbabit.

“Ketika serbuan mereka enggan beri kerjasama dan tidak membuka pintu hingga memaksa anggota kita memecahkan kunci.

Advertisement

“Selepas pintu berjaya dibuka, kelihatan empat lelaki sedang duduk di lantai ruang tamu dan pemeriksaan yang dilakukan di dalam sebuah bilik lagi menemui seorang lelaki dan pasangannya sedang baring di atas tilam,” katanya ketika dihubungi di sini siang tadi.

Nik Ros Azhan berkata, polis turut menemui 16 paket lutsinar mengandungi dadah jenis methamphetamine serta alat menghisap dadah di dalam bilik berkenaan.

Katanya, pemeriksaan di sebuah bilik lagi menemui 18 peket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis sama, tiga biji dadah jenis WY, alat penimbang dan alat menghisap dadah.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia 17 hingga 27 tahun dan kelima-lima lelaki yang ditahan positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau manakala seorang perempuan berusia 19 tahun yang turut ditahan negatif ujian saringan air kencing.

“Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,600 dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan direman empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya – sinar