Kurang 24 jam, bekas perdana menteri Najib Razak membidas Perbadanan Putrajaya (PPj) yang menaikkan kadar sewa kuarters Ppj di Putrajaya dari RM400 kepada RM800 sebulan, hari ini beliau membuat hantaran mengenai tajuk yang sama di Facebook.

“Pagi ini, syarikat milik kerajaan itu sudah menarik balik keputusan itu.

“U-turn lagi. Tetapi U-turn kali ini saya sambut baik,” kata Najib.


Semalam dalam hantarannya di Facebook, Najib menulis, jika betul-betul perlu dinaikkan, naikkanlah sedikit demi sedikit.

Katanya, jJangan digandakan serta-merta sehingga penyewa tidak dapat bernafas sambil mengingatkan mereka ini adalah penjawat awam dan pekerja kerajaan dan menurutnya, PPj adalah milik penuh kerajaan dan di bawah kawal selia kerajaan.

Dalam catatan Facebook Najib itu, turut disertakan dua keping gambar notis makluman kadar baharu sewaan kuarters Blok F dan G milik PPj Presint 11.

Dalam notis tersebut, ia menyatakan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan PPj telah menetapkan kadar baharu bagi sewaan kuarters PPj iaitu Blok F (Aras 1 hingga 16) ialah RM800 manakala Blok G Aras bawah dan Aras 1 ialah RM800 manakala Aras 2 (RM700) dan Aras 3 dan 4 (RM600).

Notis itu menyatakan bahawa kadar baharu sewaan akan berkuat kuasa setelah kontrak penyewaan sedia ada tamat dan penyewa masih berminat untuk meneruskan kontrak baharu bagi penyewaan kuarters berkenaan.

Mengulas lanjut, Najib berkata, beliau juga berharap U-turn satu kali lagi bagi membenarkan kenaikan satu gaji tahunan untuk semua penjawat awam.

“Harap juga boleh U-turn satu kali lagi dan membenarkan kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam yang sepatutnya berlaku pada 1 Julai tahun lepas jika BN menang tetapi telah dibatalkan oleh PH,” katanya.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ke-16 pada 4 April tahun lalu, Najib berkata kerajaan bersetuju memberikan kenaikan gaji bersamaan satu status kenaikan gaji tahunan kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Bagaimanapun BN yang diterajui Najib tumbang pada pilihan raya umum pada Mei tahun lalu dan kerajaan Pakatan Harapan tidak melaksankannya – Malaysia kini