JEMPOL: Lesen perniagaan lapan pusat urut yang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di Bahau, Sabtu lalu, mungkin dibatalkan jika didapati menjalankan khidmat urutan badan ke badan (B2B).

Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol (MDJL), Raja Norazli Raja Nordin, berkata pihaknya tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas itu jika hasil siasatan mendapati mereka benar-benar menganjurkan aktiviti tidak sihat berkenaan.

Katanya, lesen yang dikeluarkan ke atas premis berkenaan adalah tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk tidak menawarkan sebarang kegiatan yang tidak bermoral kepada pelanggan.

“Kita sedang menunggu laporan penuh siasatan termasuk yang sedang dilakukan oleh Imigresen yang melakukan serbuan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Raja Norazli berkata, pengusaha pusat urut terbabit hanya dibenarkan membuat tirai kain dan bukan dinding kekal yang jelas melanggar syarat lesen.

Ahad lalu, NSTP melaporkan lapan pusat urut yang menawarkan B2B digempur Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan Operasi Khas Imigresen di Bahau.

Dalam operasi yang turut disertai Imigresen Negeri Sembilan itu, 23 wanita warga asing membabitkan 15 Thailand, masing-masing empat Laos dan China berusia 18 hingga 42 tahun ditahan, jam 4.40 petang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata lapan premis membabitkan rumah pekerja di Kawasan Perniagaan Kiara dan pusat urut di Taman Meranti, di sini, diserbu serentak selepas pihaknya melakukan risikan.

Kehadiran 34 anggota pada mulanya disedari penjaga premis yang mendapat maklumat menerusi tonto hingga terdapat cubaan menutup pintu hadapan premis berkenaan.

Siasatan mendapati semua pusat terbabit menawarkan khidmat B2B serendah RM50 hingga RM150 bagi tempoh 45 minit. Pekerja urut ditempatkan di rumah penginapan berasingan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Pasport 1966 – berita harian