PETALING JAYA: Pegawai Tugas-tugas Khas Pejabat Menteri Pengangkutan, Chung Yi Fan, hari ini, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Petaling Jaya berhubung urus niaga Lesen Terbang kereta dan motosikal menerusi media sosial, terutama Facebook.

Yi Fan ketika ditemui media selepas membuat laporan itu, berkata pihaknya mendapati beberapa pengguna Facebook menggunakan profil dan nama palsu mengambil kesempatan mengiklankan tawaran lesen itu dan dipercayai mengaut keuntungan ribuan ringgit.

Katanya, antara kandungan iklan berkenaan ialah tidak perlu hadir kelas, kursus dan ujian memandu serta menunggang motosikal.

“Perkara berkenaan jelas bertentangan dengan undang-undang Malaysia iaitu Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pada masa sama, kita sudah serahkan kepada polis satu lampiran menunjukkan pemilik akaun Facebook yang menjalankan perniagaan ‘Lesen Terbang’.

“Urus niaga seperti ini mungkin ada elemen penipuan selain terbabit dengan sindiket haram, pemalsuan dokumen dan perbuatan rasuah. Kita serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya dimaklumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu berbangkit pada minggu hadapan.

“Persoalan terhadap wujudnya elemen rasuah pula, Kementerian Pengangkutan masih dalam pertimbangan untuk merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sebarang keputusan akan diumumkan minggu hadapan,” katanya – berita harian