TAIPING – Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang mendesak Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan atas tindakannya meninggalkan UMNO.

Ketuanya, Sollehin Tajie berkata, Syed Abu Hussin seharusnya lebih bertanggungjawab dan menjadi pemimpin politik yang berprinsip berikutan tindakannya keluar parti dan melepaskan jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang.

Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan kepada Pemuda Umno Bahagian Bukit Gantang dan sayap-sayap parti di bahagian yang kononnya menjadi sebab beliau keluar parti tidak berasas.

“Untuk beliau kembali menjadi ketua bahagian atau Ahli Parlimen, hati kami sangat terguris. Ini pengkhianatan yang tak mampu kita maafkan dalam keadaan UMNO menghadapi kemelut kekalahan, tiba-tiba pemimpin yang jadi jeneral perang lari tinggal kita.

“Tetapi saya yakin dan percaya apa yang berlaku ada hikmahnya. ALLAH nak tunjuk ahli dan rakyat siapa pejuang dan siapa yang berjuang untuk wang,” katanya dalam sidang media menjawab kenyataan yang dibuat Syed Abu Hussin di Pejabat Pemuda Umno Bahagian Bukit Gantang, di sini, hari ini.

Katanya, mandat perlu diberikan semula kepada rakyat untuk memilih Ahli Parlimen baharu bagi kerusi Bukit Gantang.

Sollehin berkata, pihaknya tiada masalah jika BN tewas sekiranya PRK berlangsung asalkan ia dibuat secara adil.

“Kita kena tunjuk politik matang, ahli politik perlu tunjuk sikap baik kepada rakyat. Kita perlu jadi ahli politik yang punya prinsip.

“Sebab itu kami kekal dalam parti. Kalau fikir susah, semua orang nak lompat tapi kami ini berjuang atas prinsip,” katanya.