TAIPING: Kerja-kerja letupan di tapak pembinaan berbukit berdekatan Jalan Dato Mah Poh Nui, Taiping, hari ini menyebabkan bongkah batu berterbangan dan jatuh di atas jalan selain menumbangkan satu tiang lampu isyarat.

Difahamkan, letupan di kawasan tapak pembinaan kediaman yang terletak berdekatan sebuah pasar raya itu memperolehi permit, namun pihak polis mengesahkan notis kepada penduduk tidak diberikan.

b6dccd8c-29a9-49ed-b74b-35b1108053fbKejadian itu tidak menyebabkan kecederaan kepada mana-mana individu atau kenderaan kerana difahamkan laluan berkenaan ditutup kepada lalu lintas ketika letupan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota polis bantuan di pasar raya berkenaan pada 1.48 petang.

 

 

Katanya, anggota berkenaan memaklumkan terdengar bunyi letupan kuat di projek pembinaan di kawasan bukit berhampiran ketika bertugas pada 12.40 tengah hari.

“Letupan itu mengakibatkan kerosakan pada lampu isyarat serta batu bata bertaburan di atas jalan raya, namun tiada kecederaan dilaporkan, setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pihaknya kini menjalankan siasatan atas kecuaian pihak yang melakukan letupan berkenaan kerana notis kepada penduduk tidak diberikan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.

Harian Metro