IPOH– Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengambil pendekatan kreatif untuk mendekati rakyat menerusi Program Jalan Kaki Terjauh (JKT) sejauh 1600 kilometer sambil mengedarkan risalah percukaian kepada orang ramai.

Program itu juga selaras dengan cubaan untuk memecahkan catatan Malaysia Books of Record (MBOR) sebelum ini yang dipegang oleh Biro Tata Negara sejak tahun 2003.


Menurut Pengarah Jabatan Khidmat Korporat LHDNM, Rozina Shaik Osman Merican, program JKT yang diwakili oleh tiga orang peserta itu, bermula hari ini (9 April) dan dijangka tamat pada 15 Mei depan.

“Jika sebelum ini LHDNM sudah memperkenalkan beberapa inovasi seperti Kod Capaian Pantas dan lagu pendek untuk promosikan cukai, kini kita teruskan kesinambungan itu.

“Berdasarkan maklumat MBOR, rekod yang dipegang oleh Biro Tata Negara sejauh 1329.8 kilometer, dan kita perlu mencapai jarak minima iaitu 20 peratus melebihi rekod itu.

“Selain pengedaran risalah percukaian, LHDNM akan melaksanakan program tanggungjawab sosial di beberapa lokasi yang akan menjadi tempat persinggahan peserta JKT,”katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Program Jalan Kaki 1600 Km Malaysia Book of Records Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 2018 di LHDNM cawangan Ipoh.

Peserta yang mewakili LHDNM dalam misi mencipta rekod baharu itu terdiri daripada kakitangan di Bahagian Keselamatan iaitu Eyu Leong Boon, Muhammad Nazmi Mohammad Norrizal serta Rogayah Ali.

Mereka akan melalui empat ‘check point’ merangkumi Pusat Khidmat Hasil Kulim, Kedah, cawangan Kuala Terengganu, cawangan Johor Bahru dan cawangan Melaka.

Terdahulu, Rozina menyempurnakan pelepasan peserta JKT dengan diiringi sorakan semangat dari barisan kakitangan LHDNM cawangan Ipoh.