KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini melancarkan Operasi Kami Prihatin (OKP) yang memaanfaatkan kemudahan e-mel bagi mendekati kumpulan sasar pembayar cukai baharu.

Menurut kenyataan badan itu, OKP akan menyalurkan maklumat serta panduan percukaian kepada 35,037 pembayar cukai baharu bermula hari ini hingga 11 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah dalam ucapan ketika merasmikan pelancaran OKP berkata, operasi itu adalah sejajar dengan intipati Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang menekankan prinsip berimpak tinggi dengan kos rendah, selain membolehkan sistem penyampaian perkhidmatan dijalankan dengan cekap dan kos efektif.

LHDN turut menasihatkan pembayar cukai yang menerima e-mel makluman tersebut untuk menghubungi Hasil Careline di talian 1-800-88-5436 atau mana-mana pejabat LHDN berhampiran untuk bantuan khidmat nasihat percukaian. – Bernama