PETALING JAYA: Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Omar Mat Piah berkata hasil pemeriksaan pihaknya mendapati lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi tidak terhempas, sebaliknya ia berhenti secara mengejut kira-kira 2m dari penampan lif berkenaan.

“Lif berhenti mengejut di aras bawah pangsapuri berkenaan dan tidak sampai ke penampan. Jika ia terhempas, sudah pasti akan sampai ke penampan berkenaan,” katanya dipetik Bernama selepas melawat mangsa kejadian bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di PPR Kampung Kerinchi hari ini.

“Pemeriksaan DOSH mendapati tali sawat lif berada dalam keadaan baik, sistem lif berfungsi dengan baik dan brek lif turut berfungsi dan lif yang berusia 12 tahun itu telah diselenggara dengan baik.”

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam, 8 individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas lif di pangsapuri PPR Kampung Kerinchi mengalami kegagalan sebelum jatuh dari tingkat 5.

Omar berkata, lif di PPR itu diselenggara kontraktor penyelenggaraan lif yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan.

“Setiap kontraktor yang dilantik perlu membuat pemeriksaan setiap 15 bulan bagi memastikan keadaan lif berada dalam keadaan baik. Tapi, jika gagal berbuat demikian, tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan terhadap kontraktor degil.”

Sementara itu, Khalid berkata, syarikat pembuat lif dari Korea akan membantu siasatan forensik ke atas kejadian lif jatuh itu.

“Lif itu mempunyai sijil sah sehingga Januari tahun depan daripada jabatan berkenaan dan secara teorinya, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana lif itu mempunyai ciri-ciri keselamatan, antaranya ‘alat keselamatan’ yakni brek yang akan mencengkam secara automatik.”

Beliau berkata, lif itu berusia 12 tahun dan pintunya sudah ditukar beberapa kali, tetapi siasatan awal DOSH mendapati ia diselenggara dengan baik setiap tahun.

“Saya dah mohon Datuk Bandar Kuala Lumpur (Nor Hisham Ahmad Dahlan) melakukan siasatan terperinci dan penyelenggaraan pada setiap lif yang seusia dengannya agar kejadian seperti ini tidak berulang.”