IPOH: Kelab Sukan dan Rekreasi (SRCC) Parlimen Padang Rengas akan membuat perhitungan dengan SRCC Parlimen Bagan Serai dalam perlawanan akhir Liga Perak Amanjaya bagi merebut Perisai YAB Menteri Besar Perak di padang sintetik Pulau Pangkor, Sabtu ini.

Pengerusi SRCC Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, selain Perisai YAB Menteri Besar Perak, pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, sekaligus mewakili Perak dalam Piala FA Malaysia musim hadapan.

Tempat kedua akan membawa pulang wang tunai RM10,000 manakala tempat ketiga dan keempat (SRCC Parlimen Kuala Kangsar dan SRCC Parlimen Ipoh Timur) masing-masing menerima RM5,000.

“Selaras dengan matlamat kejohanan ini untuk mengenalpasti bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan, purata pemain berumur 20 tahun,” katanya pada sidang media mengenai perlawanan akhir itu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi SRCC Parlimen Padang Rengas, Mohd Ariff Abd Majid dan Pengerusi SRCC Parlimen Bagan Serai, Nazirul Jamaluddin.

SRCC Parlimen Padang Rengas melangkah ke perlawanan akhir selepas menundukkan SRCC Parlimen Ipoh Timur melalui penentuan sepakan penalti 4 – 1 manakala SRCC Parlimen Bagan Serai menewaskan juara 2016/2017, SRCC Kuala Kangsar, juga dengan sepakan penalty 4 – 2.

Nazirul yakin, anak-anak buahnya mampu membawa pulang Perisai YAB Menteri Besar Perak ke Bagan Serai selepas hanya memperolehi tempat ke tiga pada 2014 dan 2015 di samping hingga ke peringkat suku akhir musim lalu.

Sementara Mohd Ariff pula memberitahu, pihaknya akan membawa kira-kira 200 penyokong ke Pulau Pangkor untuk memberi semangat kepada para pemain, sekaligus membawa pula perisai kejohanan ke Padang Rengas.