IPOH – Warga pendidik diseru melihat konteks pendidikan dari perspektif yang jauh lebih luas daripada cara pendidikan konvensional sedia ada.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Pendidikan hari ini bukan sahaja mengenai mengusai mata pelajaran, tetapi juga membina keupayaan pelajar dalam bidang ko-kurikulum, kepimpinan, sukan, soft-skills dan sebagainya.

“Kita perlu menyedari bahawa anak-anak pada hari ini akan berdepan dengan cabaran-cabaran lebih getir di masa depan.

“kita perlu memahami aspirasi Misi Nasional dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025, di mana salah satu teras utamanya adalah menjana modal insan minda kelas pertama.

“Di pihak kerajaan negeri, kita akan sentiasa memberi sokongan sedaya mungkin untuk memacu kualiti pendidikan di seluruh negeri Perak,” katanya ketika berucap pada majlis anugerah kecemerlangan pelajar Sekolah Jelapan, di sini pada Khamis.

Katanya lagi, pelajar sendiri juga perlu menggunakan sebaik-baik peluang untuk mengasah bakat mereka dalam pelbagai bidang sejakdari peringkat awal lagi.

“Ini kerana, sistem pendidikan kita sedang beralih kepada sistem taksiran yang lebih menyeluruh, pelajar tidak lagi hanya dinilai dari aspek pencapaian akademik, tetapi juga dari kemahiran lain dan sahsiah diri.

“Ini adalah proses penyediaan generasi sekarang untuk menjadi modal insan yang berkebolehan dalam pelbagai bidang di masa depan,” ujarnya.

Ahmad Faizal, dalam masa sama turut menyeru kepada semua warga pendidik, ibubapa dan masyarakat sekeliling supaya tidak juga melupakan gologan yang kurang cemerlang dalam akademik.

“Di sinilah peranan pendidik amat penting dan saya akui tugas ini bukan sesuatu yang mudah.

“Saya dengan rendah hati menyeru para guru agar terus memainkan peranan sebagai pendidik, tidak sekadar mengajar ilmu berdasarkan matapelajaran yang dikhususkan,” kata beliau.