IPOH: PAS Perak meminta kerajaan negeri melihat semula beberapa projek pembangunan institusi dan sekolah agama di sekitar negeri Perak yang masih tertangguh.

Mohd Zawawi Abu Hassan (PAS – Semanggol) berkata setakat hari ini masih lagi ada perancangan untuk membina institusi tahfiz dan Baitul Mal di sekitar negeri yang telah dinyatakan namun masih belum ditunaikan.

Antara projek itu ialah cadangan pembinaan Institut Tahfiz al-Quran Darul Ridzuan (QDAR) di Kampung Gajah yang telah dicadangkan sejak Disember 2014 dan Bangunan Baitulmal di Simpang 5, Parit Buntar.

“Kita harus menyedari bahawa semua perancangan projek ini adalah amat penting dan afdal bagi pembangunan sahsiah rakyat di negeri ini,” katanya dalam sidang media sempena Sidang Dewan Undangan Negeri pada Khamis.

Zawawi turut membangkitkan isu pembinaan bangunan Sekolah Menengah Tahfiz Kerian di kawasan DUN Gunung Semanggol yang masih tertangguh sehingga kini.

“Dua buah sekolah tahfiz telah ditambah di Batang Padang dan Lenggong, jadi apakah pula status terhadap sekolah tahfiz di Kerian itu? tanya beliau.