GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng berdepan tindakan tatatertib apabila didakwa cuba mengelirukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dengan mengeluarkan beberapa kenyataan bercanggah berhubung isu terowong dasar laut.

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid, berkata Guan Eng boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dibicarakan dengan proses itu boleh dilakukan pada bila-bila masa dan ia perlu diusulkan pada sidang DUN.

“Proses ini agak teknikal dan memerlukan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi memastikan jawatankuasa berkenaan bersetuju mendengar usul meminta supaya kenyataan Guan Eng mengenai isu ini di DUN, disiasat.

“Tambahan pula, kenyataan Guan Eng berhubung isu ini yang direkod dalam ‘hansard’ DUN adalah tidak tertakluk kepada tempoh had masa dan ia boleh disiasat pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Ditanya sama ada wakil BN akan membentangkan usul terbabit pada sidang DUN seterusnya, Jahara berkata, pihaknya perlu melakukan persiapan terperinci sebelum mengemukakannya untuk didengar di DUN.

“Buat masa ini, kita biarkan kenyataan Guan Eng ini diadili di pentas rakyat kerana itulah yang sebaiknya. Ia selari dengan perjuangan pakatan pembangkang yang gemar menjadikan rakyat sebagai ‘hakim’,” katanya.

Kerajaan negeri pimpinan DAP didakwa mengelirukan DUN Pulau Pinang dan rakyatnya berhubung isu terowong dasar laut apabila dikatakan memberi beberapa kenyataan bercanggah di beberapa sidang DUN dan pada sidang media Guan Eng, sebelum ini.

Sementara itu, ADUN Pulau Betong, Datuk Dr Muhamad Farid Saad, berkata rakyat Pulau Pinang dinasihat supaya menilai kredibiliti pentadbiran kerajaan negeri dan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) memperbetulkan keadaan.

“Isu pembayaran (kajian bagi tiga lebuh raya) ini sudah dibuat melalui pertukaran tanah dengan perkara berkenaan juga disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, Lim Hock Seng. Catatan mengenainya juga direkodkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) negeri.

“Saya dan mungkin kebanyakan rakyat sebenarnya sudah bosan dengan penjelasan Guan Eng. Terlampau banyak kenyataan dikeluarkan untuk menutup kelemahan dan disusuli banyak percanggahan,” katanya.

Naib Pengerusi GERAKAN negeri, Oh Tong Keong pula berkata, Guan Eng sehingga kini masih gagal memberi penjelasan berhubung isu terbabit kepada rakyat, walaupun terdapat keperluan mendesak supaya pentadbiran mereka memperincikan keseluruhan projek mega itu.

“Guan Eng hanya ‘pusing’ isu ini, beri angka itu dan ini supaya rakyat keliru, tetapi sebenarnya pentadbirannya masih gagal memberi jawapan bagi setiap perkara berbangkit. Situasi ini jelas menunjukkan pentadbirannya hanya menjaga kepentingan peribadi, berbanding rakyat,” katanya – berita harian