GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng, menyuarakan rasa tidak gentar terhadap amaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengingatkan beliau supaya berhati-hati dalam memberi kenyataan berhubung kes disiasat suruhanjaya itu di negeri ini.

Guan Eng sebaliknya mendakwa, sedia berdepan sebarang tindakan SPRM, kerana berpendapat semua kenyataan yang dikeluarkannya berlandaskan fakta dan kebenaran.

Beliau sebaliknya menyelar SPRM sambil mendakwa agensi itu hanya menyasar pemimpin dan parti politik pembangkang tetapi menutup mata terhadap kesalahan yang membabitkan Kerajaan Persekutuan.

“Adakah SPRM tidak melihat isu Jho Low? Mengapa mereka tidak pergi ke Bali atau menghantar wakil ke sana untuk menyiasat isu berkenaan?

“Mereka (SPRM) hanya mengambil tindakan terhadap parti pembangkang, terutama yang berada di barisan hadapan parti, sama ada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali atau saya sendiri.

“Saya tetap berprinsip bahawa apa yang saya katakan adalah berdasarkan kebenaran. Sehingga hari ini, saya masih menunggu jika SPRM mahu ambil tindakan,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, semalam, yang mengingatkan Mohamed Azmin dan Guan Eng, supaya berhati-hati memberi kenyataan berhubung kes yang sedang disiasat suruhanjaya itu di negeri masing-masing.

Dzulkifli dilaporkan berkata, kedua-dua pemimpin itu perlu berwaspada supaya kenyataan yang dikeluarkan mereka terutama membabitkan SPRM, tidak berunsur fitnah atau membawa kepada fitnah jenayah.

Katanya, Mohamed Azmin sebelum ini mendakwa SPRM menyerbu pejabatnya berhubung siasatan isu penjualan tanah di Ijok, Kuala Selangor, sedangkan ia tidak benar sama sekali – berita harian