KUALA KANGSAR: Tahun lepas, kisah dua lelaki yang berjalan kaki mengelilingi Malaysia untuk membersihkan masjid menjadi buah mulut masyarakat.

Baik di laman sosial mahupun kedai kopi, dua insan berjiwa murni itu menjadi bualan ramai yang kagum dengan ketelusan dan inisiatif mereka untuk melaksanakan kerja amal, bahkan menjadi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat.

Justeru, menggalas semangat sama, lima anak muda dari Machang, Kelantan merentasi perjalanan sejauh 2,590 kilometer demi merealisasikan hasrat mereka.

Sebelum ini, misi itu dilaksanakan dengan berjalan kaki, namun kali ini mereka menggunakan basikal untuk melengkapkan Kembara Keamanan Dunia Belia 1Malaysia Siri 2.

Ketuanya, Zariman Yusoh@Bachoruddin, 31, berkata, kembara kali ini mensasarkan untuk membersihkan 200 buah masjid di samping membantu golongan yang memerlukan.

Menurutnya, setakat ini 75 buah masjid di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Johor telah dikunjungi dalam kembara itu.