IPOH: Lima beranak Orang Asli cedera parah apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highland pada Isnin.

Dalam kejadian yang dikatakan berlaku sekitar 11.30 pagi, tiga daripada mangsa adalah kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Manaf Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 11.53 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati seorang lelaki dalam lingkungan 50-an yang memandu Hilux, tersepit manakala isterinya berusia 40-an dan tiga anaknya turut mengalami kecederaan parah,” katanya kepada Suara Perak.

Bagaimanapun, kata beliau, dua pemandu dan enam penumpang bas ekspres tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa oleh ambulans ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada 12.29 tengahari.