KUALA LUMPUR 10 Feb. – Polis Selangor menahan empat warga asing dan seorang lelaki tempatan dalam Op Judi Online di Seri Kembangan, Selangor.

Serbuan ke atas premis tanpa lesen pada pukul 7.50 malam itu dijalankan pasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Norhizam Bahaman berkata, dua warga asing yang ditahan adalah penjaga premis manakala tiga lagi pemain judi.

“Selain tangkapan, kita turut merampas lima unit telefon bimbit beserta wang tunai berjumlah RM67,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Norhizam, kesemua yang ditahan dibawa ke balai berdekatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 6(1) Akta Imigresen. – UTUSAN ONLINE