IPOH: Lima lelaki direman tujuh hari ekoran kejadian seorang lelaki maut selepas mengalami cedera parah akibat ditetak dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan di luar sebuah pusat hiburan di Bandar Baru Medan Ipoh, pada Ahad.

Perintah tahanan reman sehingga 26 Mei depan itu dikeluarkan Majistret Umzarul An-Nur Umar di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.

Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan di hadapan pusat hiburan berkenaan pada Ahad.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai S. Kanakaran, 35, bekerja sebagai pemandu, dipercayai diserang empat lelaki bersenjatakan parang.

Mangsa meninggal dunia sekitar jam 8 pagi hari yang sama ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Pergaduhan dipercayai bermula di dalam pub dan pemeriksaan awal polis mendapati terdapat beberapa kesan tetakan pada tubuh mangsa.