Oleh: Nazialita Geynna Maharan

PARIT: Setelah lima hari berkampung, Program Permukiman Menteri Besar di daerah Perak Tengah menutup tirai dan berakhir dengan sasaran serta matlamat program yang tercapai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, susunan 109 program yang diteliti khas dilihat dapat menggabungkan semua elemen penting dalam menyelami masalah rakyat di sekitar daerah itu dengan efektif.

Malah, program-program tersebut juga mendapat sambutan cukup baik daripada rakyat, khususnya dari segi penglibatan dan sokongan mereka sepanjang Selasa hingga Sabtu.

“Kejayaan matlamat program di Perak Tengah adalah bukti bahawa hubungan antara kerajaan negeri dan rakyat adalah cukup mantap.

“Malah, yang penting adalah beberapa permasalahan diutarakan sebelum ini dapat ditangani dan diselesaikan sebaik mungkin seperti pembinaan hospital, isu banjir dan penaiktarafan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Fit Perak@Perak Tengah di Dataran Pekan Parit pada pagi Sabtu.

Tambah beliau, kejayaan program itu adalah hasil inisiatif pemimpin setempat yang turun padang dan menyelami sendiri permasalahan rakyat selain mengambil pendapat penduduk mengenai isu mereka di daerah Perak Tengah.

Jelas Dr Zambry, permukiman kali ini juga menampakkan kemesraan jelas di antara penduduk kampong di Perak Tengah dan kakitangan awam serta agensi yang berkunjung ke tempat mereka.

“Apa yang penting, adalah ianya membantu untuk menjelaskan sebarang kekeliruan rakyat berkenaan dengan keperluan mereka dan secara terus mengemukakannya kepada agensi berwajib,” ujar beliau.