IPOH: Pertubuhan Badan Amal Dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan Negeri Perak (KASIH Perak) komited membantu kerajaan mempromosi serta membentuk masa depan negara dan negeri yang lebih gemilang untuk semua golongan masyarakat.

Pengerusi KASIH Perak, Datin Seri Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi berkata, dalam mencapai hasrat itu, pihaknya telah mengenal pasti lima inisiatif utama yang akan diberikan tumpuan iaitu khidmat sosial, pendidikan, kesihatan dan keselamatan, seni dan sukan, serta kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, beberapa program sedang diatur dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat korporat.

“Selain bekerjasama rapat dengan KASIH Malaysia, kami turut menjalin hubungan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Koperasi Alam Hijau Perak Bhd. (Kohijau) serta Yayasan Pendidikan Perak.

“Malah kami turut bersama dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat menjayakan program dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Gala Makan Malam Amal KASIH Perak di Taman Tema Movie Animation Park Studio (MAPS) di sini malam Sabtu.

Majlis dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Majlis diserikan dengan persembahan istimewa di mana para hadirin didendangkan dengan irama gesekan biola Tun Hasmah bersama pemuzik profesional.

Dr. Nomee yang juga isteri kepada Menteri Besar Perak menambah, segala usaha yang dijalankan itu turut berjalan seiring dengan matlamat untuk memerangi sifat rasisme, cauvinisme dan penindasan terhadap mana-mana pihak.

Katanya, sejak ditubuhkan Oktober tahun lalu, mereka telah melakukan beberapa beberapa program dan aktiviti, antaranya memberi sokongan terhadap golongan gelandangan di Rumah Teduhan Kelana hasil inisiatif Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, memperluaskan kempen ‘Reading With Mum’ bersama Yayasan Pendidikan Perak serta bekerjasama dengan Persatuan Pink Champions bagi menggerakkan kempen ‘Kenali Ubat Anda’.