JOHOR BAHRU: Ruang makan dan perniagaan tiga kedai dua tingkat di Jalan Tan Hiok Nee, di sini, musnah akibat kebakaran, pagi tadi.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Pegawai Bomba Kanan II, Kilok Lampas, berkata kejadian jam 5.30 pagi itu menyebabkan bahagian atas tiga rumah kedai dua tingkat itu musnah 100 peratus, manakala dua rumah kedai yang lain hanya rosak lima peratus.

Katanya, enam jentera membabitkan 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dan Skudai dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.

“Kami menerima maklumat lima kedai di Jalan Tan Hiok Nee terbabit dalam kebakaran.

“Sebaik tiba, kami dapati tiga unit tingkat atas bangunan dua tingkat itu terbakar 100 peratus, manakala di tingkat bawah hanya terbakar 30 peratus.

“Bagaimanapun dua unit rumah kedai hanya terbakar lima peratus,” katanya ketika dihubungi.

Kilok berkata, operasi memadam kebakaran ditamatkan pada jam 8.31 pagi.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan – berita harian