LIMA kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran di Pekan Kuah, Langkawi, hari ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kematian dalam kejadian 3.15 pagi itu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Timbalan Penguasa Bomba Johari Mohamed berkata, kedai yang terbakar ialah dua kedai runcit, selain masing-masing sebuah kedai telefon, barangan pembinaan dan restoran.

Katanya, 21 anggota berserta lima jentera termasuk masing-masing sebuah lori tangki dan jentera Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan, 3.28 pagi tadi.

“Ketika sampai, api marak membakar deretan lima kedai dua tingkat kelas C dengan anggaran keluasan setiap unit ialah enam meter panjang dan 12 meter lebar.

“Tahap kemusnahan semua kedai yang terbabit dianggarkan 90 peratus dan tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi di Langkawi.

Beliau berkata, api dapat dikawal pada 3.55 pagi, manakala kerugian dan punca kejadian masih disiasat – hmetro