BAGAN SERAI: Polis menahan lima lelaki, termasuk dua beradik, yang sedang leka menghisap dadah dalam tiga serbuan di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dua beradik itu yang berumur 40-an, diberkas dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Parit Haji Said, Kuala Kurau jam 9.00 malam pada 11 April lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, pihaknya menjumpai 10 peket lutsinar dan satu tiub straw berisi bahan dadah disyaki heroin seberat 16.7 gram bersama peralatan menghisap.

Katanya, susulan penangkapan itu, polis membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah berhampiran, enam jam kemudian dan berjaya menahan dua lagi suspek berusia 30-an yang leka menghisap dadah.

“Pemeriksaan polis kemudiannya menemui sejumlah tiga peket lutsinar dan tujuh tiub bahan dadah disyaki heroin seberat 151.16 gram bersama peralatan.

“Salah seorang suspek yang ditangkap ini baru sahaja dibebaskan dari penjara Taiping, penghujung tahun lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini, pada Rabu.

Menurutnya lagi, hasil siasatan lanjut didapati keempat-empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing menunjukkan mereka positif dadah jenis morphine.

Katanya, kesemua dadah yang dirampas dari empat suspek itu dianggarkan seberat 167.23 gram dengan nilai anggaran RM10,000.

“Semua suspek yang ditahan telah direman selama enam hari dan proses reman disambung selama lima hari bermula hari ini,” ujarnya.

Omar Bakhtiar berkata, hasil maklumat yang diperolehi dari empat suspek itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah beralamt di Sungai Baru, Selinsing dan menahan seorang lelaki berusia 40-an, juga sedang menghisap dadah di bahagian atas rumah tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui enam plastik lutsinar berisi dadah dipercayai heroin seberat 201.04 gram dan dua peket lutsinar dipercayai berisi methamphetamine seberat 4.07 gram di dalam kotak kasut bersama peralatan.

“Nilai dadah yang dirampas dari suspek ini dianggarkan bernilai RM 15,000 dan harganya mampu mencecah sehingga tiga kali ganda selepas ianya di proses dan di bungkus semula,” katanya.

Tambahnya, suspek merupakan tokan yang menjadi pembekal utama kepada empat suspek yang ditahan.

Katanya, dengan tertangkapnya kesemua mereka, pihak polis yakin dapat melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Selinsing dan Kuala Kurau.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.